Assamualaikum wbt.

Lama tidak menjengah ke sini. Pagi ni ramai yang belum tidur lagi rasanya. Semua sibuk membicarakan mengenai bola. Pasukan Spain dan Portugal. Mana satu menjadi pilihan. Semua menjadi ahli nujum. Masing-masing memberikan andaian  pasukan mana yang akan menang. Rata-rata memilih Spain. Tidak kurang juga yang menyokong Portugal. 

Melalui sejarah pemain serta rentak permainan yang membuatkan mereka menyokong pasukan pilihan masing-masing. Bola itu bulat. Mana-mana pasukan boleh menang sekiranya tersalah langkah atau leka untuk seketika. 

Sepanjang Euro 2012, saya cuma melihat updated dari status facebook rakan-rakan sahaja. Saya langsung tidak mengikutinya secara live. Daddy pun sama. hehehe. Kerja yang banyak membuatkan dia kurang berminat untuk menahan mata sehingga ke pagi menonton perlawanan bola. 

Selamat menonton. Esok saya akan update blog  sekali lagi.    

Mesti ada yang rindu kepada kami hehehehe. :D

Assalamualaikum wbt.

Nostalgia..
kenangan manis...
ah..siapa yang tiada kenangan manis untuk dikenang..terutamanya kenangan sewaktu kecil. Zaman yang tidak perlu memikirkan apa-apa melainkan belajar dan bermain..

Kenangan manis itu bermula sejak zaman tadika lagi. Bukan bermakna sebelumnya tidak ada tetapi ketika zaman tadika lah,baru memori itu tercipta. Bermula di tadika, kita dapat mengenal a b c, 1 2 3, alif ba ta dan sebagainya. Apa yang paling saya ingat  sewaktu makan dan bermain. Belajar tidak ingat ke?hehe. Makanan yang selalu disediakan adalah bihun dan nasi lemak. Waktu bermain pula dihabiskan dengan bermain di taman permainan yang disediakan. Pernah dua kali tersungkur dan sebelah tangan terseliuh disebabkan oleh tergopoh gapah untuk keluar bermain. Dekat 2 minggu tidak ke sekolah. Diurut oleh seorang nenek yang lebih dikenali sebagai Wan Dee. Punyalah menangis tak henti-henti diatas kesilapan sendiri.

Apabila masuk tahun satu, seingat saya, masa tu saya sudah berpindah ke Terengganu. Rasanya ketika itu zaman pekedai runcit menjual permainan tikam hadiah. Pernah sekali berjaya menikam dan hadiahnya adalah rantai emas. Punyalah gembira. Biar pun rantai emas tiruan. Agaknya besi dicelup warna emas.  Hehehe. Naik basikal mesti nak pakai rantai tu. Hasil dari tikaman yang berjaya. Kalau diingat kembali, permainan tikam hadiah adalah haram seperti berjudi. Kanak-kanak, belum mengerti makna halal dan haram. Kalau tahu pun, masih nak mencuba. Jiwa muda lah katakan.

Pernah juga saya bermain basikal sehingga terjatuh ke dalam gaung.  Walaupun gaung itu tidaklah dalam mana, tetapi hendak dibandingkan dengan saiz badan kanak- kanak yang kecil, memang agak dalam. Angin bertiup kencang manakala langit juga mulai mendung. Hujan renyai-renyai membasahi bumi. Mak memanggil untuk pulang ke rumah. Tetapi disebabkan oleh kenakalan saya, akhirnya gaung menjadi tempat persinggahan saya. Sekali lagi mak dan abah menghantar saya berurut dengan seorang tukang urut. Tangan yang terseliuh menjadi semakin sakit akibat dari urutan nenek tersebut. Sakit untuk baik katanya. Mulalah menangis meraung-raung menahan kesakitan. Serik dibuatnya.  


Kenangan yang juga tidak dapat dilupakan adalah sewaktu darjah 4. Waktu itu trend atau musim kanak-kanak bermain lompat getah, lompat galah, ting ting dan sebagainya. Permainan lompat getah adalah yang paling seronok. Bermain dengan kakak dan adik serta jiran di sekitar rumah. Seingat saya, ada dua orang kembar iaitu Nina dan Nini yang paling hebat dalam bermain lompat getah ni. Walaupun si kembar ni berbadan kecil tetapi mereka sangat lincah dan berjaya mengalahkan saingan yang lain. Alahai,rindunya pada mereka berdua. Bila lah agaknya dapat bertemu kembali. Masing-masing sudah mempunyai kerjaya tersendiri. 


Siapa yang tidak pernah masuk hutan? Siapa yang tidak pernah goreng telur di tepi kolam buatan? Siapa yang tidak pernah bermain air banjir? Siapa yang tidak pernah mandi air hujan sambil guling-guling di atas padang rumput? Semua itu menjadi memori dalam hidup saya kerana saya pernah lakukan semua itu. Memang geli hati dibuatnya. Masuk hutan mencari kayu bonsai katanya.  Menggunakan gergaji kecil. Memang tidak munasabah dan akhirnya kayu itu tidak berjaya di pisahkan dari pokok yang menjadi mangsa pemotongan kami. Goreng telur di tepi kolam buatan menggunakan kuali yang diimport dari rumah. Hahaha. Ini terikut-ikut dek pakaian seragam di sekolah iaitu pandu puteri lah ni. Mandi air hujan sewaktu guruh dan sekali sekala petir menyambarkan cahayanya. Agak-agak hampir pukul 4.30 petang, waktu pejabat sudah berakhir, saya dan kakak lari lintang pukang pulang ke rumah. Kalau tidak, memang siap la. Kena rotan dek abah. hehehe.


Kalau balik kampung pula, aktiviti yang boleh dilakukan adalah mandi sungai. Sambil menyelam, minum air. Sambil mandi, sambil mencari siput sedut, menanggak udang dan jikalau ke seberang sungai, boleh mencari pucuk paku. Pacat dan lintah menjadi teman setia. Kenyang menghisap betis kami. Malangnya sungai tersebut sudah tidak secantik dahulu. Permukaan tanah dan tebingnya yang sudah terhakis tidak sesuai untuk mandi lagi. Kepada yang berani, silakan. Tanggunglah sendiri akibatnya.


Perkara yang paling seronok ketika di pulang ke kampung adalah dapat tidur dengan arwah uwan iaitu ibu kepada mak saya. Bau arwah uwan yang memakai bedak zaitun dibadannya sungguh harum. Sedap memeluknya. Setiap kali hendak tidur, arwah mesti berselawat dan membaca surah-surah lazim sehinggalah dia tertidur. Rindunya saya yang tidak terhingga kepada arwah uwan saya yang sangat baik hati dan manis senyumannya. Saya masih ingat lagi saat-saat akhir arwah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Mak Ngah menghubungi abah dan mengatakan arwah uwan hendak ke tandas tetapi tidak mampu untuk bangun. Sejurus kami sampai ke rumah arwah uwan, abah mengangkat uwan ke tandas. Selepas itu, arwah sudah tidak sedarkan diri. Abah dan mak terus membawa arwah ke hospital. Sejam kemudian, mak menghubungi kami di rumah mengatakan arwah uwan sudah tiada. Sebak rasanya. Menangis dibuatnya. Uwan yang tersayang pergi menghadap Ilahi. Tiada lagi teman tidur apabila pulang ke kampung. Moga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam golongan orang yang beriman.  






Sampai di sini sahaja coretan untuk kali ini.     


Labels: 2 komen | | edit post